Syeikh Hamzah al-Fansuri
Posted on 8 November
2009 by Murid Paramartha
Hampir semua pengkaji yang membicarakan tokoh ulama ini pada
zaman moden, selalu merujuk kepada karya-karya Prof. Dr. Syed M. Naquib
al-Attas. Barangkali dunia memang mengakui bahawa beliaulah orang yang paling
banyak memperkenalkan Syeikh Hamzah al-Fansuri ke peringkat antarabangsa. Walau
bagaimanapun apabila kita membaca keseluruhan karya Prof. Dr. Syed M. Naquib
al-Attas yang membicarakan Syeikh Hamzah al-Fansuri, bukanlah berarti kita
tidak perlu mentelaah karya-karya lain lagi, kerana apabila kita mentelaah
karya-karya selainnya, terutama sekali yang masih berupa manuskrip, tentu
sedikit sebanyak kita akan menemukan perkara-perkara baru yang belum
dibicarakan. Karya terkini tentang Syeikh Hamzah al-Fansuri ialah buku yang
diberi judul Tasawuf Yang Tertindas Kajian Hermeneutik Terhadap Karya-Karya
Hamzah Fansuri. Buku setebal 444 halaman itu dikarang oleh Dr. Abdul Hadi W.M.
dan terbitan pertama oleh Penerbit Paramadina, Jakarta, 2001. Sama ada
karya-karya Prof. Dr. Syed M. Naquib al-Attas mahupun karya Dr. Abdul Hadi
W.M., sedikit pun tiada menyentuh gambar Syeikh Hamzah al-Fansuri seperti yang
tersebut di atas.
Asal-usul dan pendidikan
Prof. A. Hasymi pada penyelidikannya yang lebih awal
bertentangan dengan hasil penyelidikannya yang terakhir. Penyelidikan awal,
ayah Syeikh Hamzah al-Fansuri nampaknya tidak ada hubungan adik beradik dengan
ayah Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri. Penyelidikan terakhir beliau mengatakan
bahawa Syeikh Hamzah al-Fansuri itu adalah adik beradik dengan Syeikh Ali
al-Fansuri. Syeikh Ali al-Fansuri adalah ayah kepada Syeikh Abdur Rauf
al-Fansuri. Penyelidikan awal yang saya maksudkan ialah yang ditulis oleh Prof.
A. Hasymi dalam Ruba’i Hamzah Fansuri yang dapat diambil pengertian daripada
kalimatnya, “Ayah Hamzah pindah dari Fansur (Singkel) ke Barus untuk mengajar,
kerana beliau juga seorang ulama besar, seperti halnya ayah Syeikh Abdur Rauf
Fansuri yang juga ulama, sama-sama berasal dari Fansur (Singkel)” (terbitan
DBP, 1976, hlm. 11). Mengenai penyelidikan Prof. A. Hasymi yang menyebut Syeikh
Hamzah al-Fansuri saudara Syeikh Ali al-Fansuri atau Syeikh Abdur Rauf bin Ali
al-Fansuri adalah anak saudara kepada Syeikh Hamzah al-Fansuri, dapat dirujuk
kepada kata pengantar buku Hamzah Fansuri Penyair Sufi Aceh karya Abdul Hadi
W.M. Dan L. K. Ara, diterbitkan oleh Penerbit Lotkala, tanpa menyebut tempat
dan tarikh.
Walaupun Prof. A. Hasymi belum memberikan suatu pernyataan
tegas bahawa beliau memansukhkan tulisannya yang disebut dalam Ruba’i Hamzah
Fansuri, namun kita terpaksa memakai penyelidikan terakhir seperti yang telah
dijelaskan di atas. Dr. Azyumardi Azra dalam bukunya, Jaringan Ulama mengatakan
bahawa beliau tidak yakin bahawa Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri itu
benar-benar keponakan (anak saudara) Syeikh Hamzah al-Fansuri. “Sebab,
menurutnya, tidak ada sumber lain yang mendukung hal itu.” Bagi saya ia masih
boleh dibicarakan dan perlu penelitian yang lebih sempurna dan
berkesinambungan. Sebab yang dinamakan sumber pendukung sesuatu pendapat, bukan
hanya berdasarkan tulisan tetapi termasuklah cerita yang mutawatir. Kemungkinan
Prof. A. Hasymi yang berasal dari Aceh itu lebih banyak mendapatkan cerita yang
mutawatir berbanding penelitian barat yang banyak disebut oleh Azra. Diterima
atau tidak oleh pengkaji selain beliau, terpulanglah ijtihad masing-masing
orang yang berkenaan.
Dalam buku Hamzah Fansuri Penyair Aceh, Prof. A. Hasymi
menyebut bahawa Syeikh Hamzah Fansuri hidup sampai akhir pemerintahan Sultan
Iskandar Muda ternyata juga ada perubahan daripada tulisan beliau yang
termaktub dalam Ruba’i Hamzah Fansuri‚ selengkapnya, “Hanya yang sudah pasti,
bahawa beliau hidup dalam masa pemerintahan Sultan Alaidin Riayat Syah IV
Saiyidil Mukammil (997-1011 H-1589-1604 M) sampai ke permulaan pemerintahan
Sultan Iskandar Muda Darma Wangsa Mahkota Alam (1016-1045 H-1607-1636 M).” Yang
dimaksudkan dengan “ternyata juga ada perubahan”, ialah pada kalimat, ” sampai
ke permulaan pemerintahan Sultan Iskandar Muda,” menjadi kalimat “akhir
pemerintahan Sultan Iskandar Muda.”
Tarikh lahir Syeikh Hamzah al-Fansuri secara tepat belum
dapat dipastikan, adapun tempat kelahirannya ada yang menyebut Barus atau
Fansur. Disebut lebih terperinci oleh Prof. A. Hasymi bahawa Fansur itu satu
kampung yang terletak antara Kota Singkel dengan Gosong Telaga (Aceh Selatan).
Dalam zaman Kerajaan Aceh Darussalam, kampung Fansur itu terkenal sebagai pusat
pendidikan Islam di bahagian Aceh Selatan. Pendapat lain menyebut bahawa beliau
dilahirkan di Syahrun Nawi atau Ayuthia di Siam dan berhijrah serta menetap di
Barus.
Drs. Abdur Rahman al-Ahmadi dalam kertas kerjanya menyebut
bahawa ayah Syeikh Hamzah al-Fansuri bernama Syeikh Ismail Aceh bersama Wan
Ismail dan Po Rome atau Po Ibrahim (1637- 1687 M) meninggal dunia dalam
pertempuran melawan orang Yuwun (Annam) di Phanrang. Bahawa Syeikh Ismail Aceh
itu pernah menjadi gabenor di Kota Sri Banoi menggantikan Gabenor Wan Ismail
asal Patani yang melepaskan jabatan itu kerana usianya yang lanjut. Drs. Abdur
Rahman Al-Ahmadi berpendapat baru, dengan menambah Syahrun Nawi itu di Sri
Banoi Sri Vini, selain yang telah disebutkan oleh ramai penulis bahawa Syahrun
Nawi adalah di Siam atau Aceh. Dalam Patani, iaitu antara perjalanan dari
Patani ke Senggora memang terdapat satu kampung yang dinamakan Nawi,
berkemungkinan dari kampung itulah yang dimaksudkan seperti yang termaktub
dalam syair Syeikh Hamzah al-Fansuri yang menyebut nama Syahrun Nawi itu.
Kampung Nawi di Patani itu barangkali nama asalnya memang Syahrun Nawi, lalu
telah diubah oleh Siam hingga bernama Nawi saja. Syahrun Nawi adalah di Patani
masih boleh diambil kira, kerana pada zaman dulu Patani dan sekitarnya adalah
suatu kawasan yang memang ramai ulamanya. Saya telah sampai ke kampung tersebut
(1992), berkali-kali kerana mencari manuskrip lama. Beberapa buah manuskrip
memang saya peroleh di kampung itu. Lagi pula antara Aceh dan Patani sejak lama
memang ada hubungan yang erat sekali. Walau bagaimanapun Prof. A. Hasymi
menyebut bahawa Syahrun Nawi itu adalah nama dari Aceh sebagai peringatan bagi
seorang Pangeran dari Siam yang datang ke Aceh pada masa silam yang bernama
Syahir Nuwi, yang membangun Aceh pada zaman sebelum Islam.
Daripada berbagai-bagai sumber disebutkan bahawa Syeikh Hamzah
al-Fansuri telah belajar berbagai-bagai ilmu yang memakan masa lama. Selain
belajar di Aceh sendiri beliau telah mengembara ke pelbagai tempat, di
antaranya ke Banten (Jawa Barat), bahkan sumber yang lain menyebut bahawa
beliau pernah mengembara keseluruh tanah Jawa, Semenanjung Tanah Melayu, India,
Parsi dan Arab. Dikatakan bahawa Syeikh Hamzah al-Fansuri sangat mahir dalam
ilmu-ilmu fikah, tasawuf, falsafah, mantiq, ilmu kalam, sejarah, sastera dan
lain-lain. Dalam bidang bahasa pula beliau menguasai dengan kemas seluruh
sektor ilmu Arabiyah, fasih dalam ucapan bahasa itu, berkebolehan berbahasa
Urdu, Parsi, Melayu dan Jawa.
Karya-keryanya
Syeikh Hamzah al-Fansuri dapat digolongkan kepada peringkat
awal dalam menghasilkan karya puisi/sastera dalam bahasa Melayu, sangat
menonjol terutama sekali dalam sektor sufi. Lebih terserlah lagi kemasyhurannya
kerana terjadi kontroversi yang dilemparkan oleh orang-orang yang tidak
sependapat dengannya yang dimulai dengan karya-karya Syeikh Nuruddin ar-Raniri,
berlanjutan terus hingga sampai ke hari ini karya-karya Syeikh Hamzah
al-Fansuri selalu dibicarakan dalam forum-forum ilmiah. Di bawah ini saya cuba
menyenaraikan karya beliau yang telah diketahui, iaitu: 1). Syarb al- ‘Asyiqin
atau Zinatul Muwahhidin. 2). Asrar al-’Arifin fi Bayan ‘Ilm as-Suluk wa
at-Tauhid. 3). Al-Muntahi. 4). Ruba’i Hamzah Fansuri. 5). Kasyf Sirri Tajalli
ash-Shibyan. 6). Kitab fi Bayani Ma’rifah. 7). Syair Si Burung Pingai. 8).
Syair Si Burung Pungguk. 9). Syair Sidang Faqir. 10). Syair Dagang. 11). Syair
Perahu. 12). Syair Ikan Tongkol. Keterangan lengkap mengenai data karya Syeikh
Hamzah al-Fansuri dapat dirujuk dalam buku yang saya susun berjudul Al-Ma’rifah
Pelbagai Aspek Tasawuf Nusantara, jilid 1. Senarai yang tersebut di atas merupakan
maklumat yang terlengkap buat sementara dan akan ditambah lagi jika terdapat
maklumat baru yang belum termuat dalam senarai di atas.
Mengakhiri artikel ini di sini perlu dijelaskan bahawa makam
Syeikh Hamzah al-Fansuri telah ditemui sebagaimana ditulis oleh Dada Meuraxa:
“Di satu kampung yang bernama Obor terletak di hulu Sungai Singkil, terdapat
makam ulama dan pujangga Hamzah Fansuri. Makam itu bertulis: Inilah makam
Hamzah Fansuri mursit Syeikh Abdurrauf = Hamzah Fansuri guru Syeikh Abdur
Rauf.”
Mengenai tahun wafat Syeikh Hamzah al-Fansuri secara tepat
selama ini tidak pernah disebut. Tetapi Azra dalam Jaringan Ulama menyebut
bahawa ulama sufi itu wafat pada tahun 1016 H/1607 M. Disebutkan tahunnya itu
disekalikannya membantah bahawa Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri (Al-Sinkili,
menurut istilahnya) “tidak mungkin bertemu dengan ulama sufi itu”, menurutnya
“Al-Sinkili bahkan belum lahir”.
Seolah-olah Azra menolak mentah-mentah tahun kelahiran
Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri yang disebut oleh A. Hasymi tahun 1001 H/1592 M
itu, kemungkinan dia berpegang pada tahun kelahiran 1024 H/1615 M, atau
pendapat lain 1620 M, sedangkan tahun kewafatan Syeikh Hamzah al-Fansuri yang
disebutnya 1016 H/1607 M itu belum juga tentu betul. Wallahu a’lam.
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
Sumber: darisrajih.wordpress.com.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar